FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.

Join the forum, it's quick and easy

FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.
FORUM PARAMEDIK
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

JIKA KITA TIDAK DIHINA ORANG, JANGAN MENGHINA DIRI SENDIRI

2 posters

Go down

JIKA KITA TIDAK DIHINA ORANG, JANGAN MENGHINA DIRI SENDIRI Empty JIKA KITA TIDAK DIHINA ORANG, JANGAN MENGHINA DIRI SENDIRI

Post by MLT_hidayah Wed 09 Apr 2008, 12:54 am

Jika kita tidak dihina orang, jangan menghina diri sendiri



FILEM Fitna, sebuah filem ringkas ahli Parlimen Belanda Geert Wilders itu
telah menimbulkan kemarahan umat Islam. Ternyata benar pembikin filem berkenaan
menyimpan kebencian yang amat tinggi terhadap Islam dan umatnya. Di Malaysia
agak menarik, mereka yang sebelum ini tidak pernah sensitif dalam isu-isu yang
seperti itu, tiba-tiba muncul mengangkat sepanduk bantahan. Mungkin semangat
baru muncul untuk membela Islam. Atau, sebagai salah satu ubat yang cuba ditelan
bagi memulihkan diri akibat hentakan demam pilihan raya yang ramai belum dapat
‘kebah’. Apa pun sebabnya, saya amat bersetuju dengan bantahan tersebut dan juga
kempen memboikot barangan Belanda.
Namun, seperti biasa saya ingin mengajak kita melihat isu ini dari
sudut-sudut yang lain. Kita perlu jelas, bahawa apa yang kita bantah bukanlah
hak untuk individu atau syarikat menerbitkan sesebuah filem. Kita percaya kepada
hak dan kebebasan individu, atau syarikat atau negara dalam batasan yang wajar.
Sebenarnya, yang kita marah adalah pembohongan, pengkhianatan dan penyelewengan
fakta. Itu yang dibantah. Sama seperti seseorang yang menggunakan haknya untuk
mendengar radio, namun dia menguatkan suara sehingga mengganggu jiran tetangga.
Maka anak kecil yang sedang tidur menangis, ibunya terjaga, yang sedang membaca
terganggu dan sedang berehat sesak pendengaran. Lalu mereka membantahnya. Dengan
gaya selamba lagi ‘bodoh’ dia menyebut; “ini hak saya untuk mendengar, lagipun
ini radio saya sendiri.” Lalu mereka menyatakan kepadanya: “kami tidak membantah
hak awak untuk mendengar radio awak, tetapi kami membantah kerana awak
mengganggu kehidupan kami.” Ya! Kita tidak membantah mereka ingin berkarya dalam
pembikinan filem atau seni, tetapi kita membantah fitnah dan pembohongan yang
mampu mengganggu ketenteraman hidup dan keamanan kita. Itu namanya
penyalahgunaan hak yang disebut oleh para sarjana fikah sebagai al-Ta‘assuf fi
Isti‘mal al-Haq. Adalah @#$% jika media Barat ingin mempertahankan hak Geert
Wilders untuk berkarya kerana kita tidak mempertikaikan haknya untuk berkarya,
tetapi kita mempertikaikan penyalahgunaan hak.
Sebenarnya juga, kempen memburukkan wajah Islam dengan melabelkannya sebagai
pengganas dan kejam bukan bermula dari filem Fitna. Media-media Barat seperti
CNN telah lama melancarkan serangan pemikiran ke atas masyarakat dunia amnya dan
masyarakat Barat khususnya demi merosakkan gambaran Islam. Filem ini hanyalah
kesinambungan dari usaha-usaha tersebut dengan cara menyunting kejadian-kejadian
ganas yang dikaitkan dengan orang Islam serta memetik ayat-ayat al-Quran yang
berkaitan dengan jihad. Petikan ayat-ayat tersebut tanpa memahami latar teks dan
isu sebenar yang dijelaskan oleh al-Quran membuatkan mereka yang jahil hakikat
Islam berasa adanya hubungkait antara keganasan dan al-Quran. Saya telah
menjawab isu jihad ini dalam salah satu rencana saya yang lepas “Wahai Dunia!
Islam Bukan Agama Pengganas”.
Namun apa yang menjadi masalah yang terbesar adalah tindakan sesetengah umat
Islam yang tidak mengikut disiplin Islam seakan membuka ruang untuk
tohmahan-tohmahan seperti ini menjadi subur dalam pemikiran masyarakat dunia
yang tidak faham. Pada hari ini, media-media utama dunia tidak kita kuasai.
Media adalah senjata peperangan yang paling ampuh di kurun ini. Ia mampu
membentuk pemikiran dan tindakan manusia. Sesiapa yang senjata ini tidak
dimiliki olehnya maka dia bila-bila masa boleh menjadi mangsa. Apabila Yahudi
antarabangsa membuat keputusan mencomotkan wajah Islam menerusi media, sementara
di kalangan umat Islam pula melakukan tindakan-tindakan yang membuka ruang untuk
rancangan jahat itu berjalan, maka wajah Islam benar-benar dipalit dengan
keburukan. Ramai umat Islam yang bertindak seakan sedang hidup pada zaman
kekhalifahan Islam yang cemerlang yang dapat membela dan melindungi umat. Mereka
lupa kita kini seakan sedang hidup di zaman awal Islam di Mekah yang amat
ditindas dan segala tindakan kita perlu diambil secara berhati-hati dan mengira
untung rugi dengan teliti.
Kehairanan
Saya kadangkala kehairanan melihat sesetengah ahli politik tertentu di
Malaysia yang selalu dimangsakan oleh media. Setiap kali membuat kenyataan, dia
terkena. Pun begitu dia masih mengulangi kesalahan yang serupa. Sama ada dia
ahli politik yang @#$%, atau media lebih cerdik. Jika awak tahu awak selalu
dimangsakan, janganlah bergaya di depan media macam ‘bapa awak’ yang punya.
Pilihlah perkataan yang tepat, atau diam. Demikianlah juga, kita faham perasaan
mereka yang dibom kampung halaman dan negara, dirogol dan dibunuh anak isteri,
ibu dan bapa seperti yang dilakukan oleh Amerika, Israel dan kuncu-kuncu mereka
terhadap umat Islam di negara-negara yang dicerobohi. Kebencian dan dendam yang
meluap-luap. Kemarahan yang tidak bertebing lagi. Namun menyembelih musuh untuk
disiarkan kepada dunia tidak memberi manfaat kepada umat Islam. Di samping tidak
bertepatan dengan arahan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya): Dan
perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu
melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.
Media antarabangsa akan menyelewengkan isu tersebut. Masyarakat Barat yang
barangkali tidak dapat memahami latar keadaan atau suasana yang mengheret kepada
tindakan sedemikian ganas akan mengaitkan kejadian-kejadian seperti itu dengan
Islam. Mereka akan terlupa apa yang dilakukan oleh tentera yang menceroboh,
merogol, mencedera dan membunuh kaum keluarga pihak yang bertindak ganas dan
itulah yang mengheret tindak balas yang sama. Akhirnya, mereka mentohmah
Islam.
Kita semua kena sedar, zaman ini bukan zaman kegemilangan Islam. Jenama Islam
dianggap rendah. Barat dengan segala kemajuan kebendaan lebih berjaya mengangkat
jenamanya di persada dunia. Saya selalu buat contoh dari perkara yang kecil
seperti syampu pencuci rambut. Jika kita membawa dua jenama, satunya dihasilkan
oleh sekumpulan pakar dari Asia dengan segala kelebihannya, sementara yang satu
lagi hanya disebut “formula dari sebuah negara Barat tententu” tanpa diterangkan
kelebihannya, ramai dalam dunia ini akan menganggap yang dari Barat itu lebih
baik. Hanya yang teliti akan cuba menyemak dan menilai kedua bahan tersebut.
Apabila Islam dituduh sebagai pengganas, mundur, tidak berdisiplin, jumud,
tidak toleran dan seumpamanya oleh Barat, ramai yang percaya. Sebab, bukan ramai
manusia dalam dunia ini yang ingin menyelidik sendiri hakikat sesuatu perkara.
Kebanyakannya bergantung kepada cakap orang. Dalam zaman ini, kepada media.
Ditambah pula contoh teladan yang buruk yang ditunjukkan oleh umat Islam.
Membaca laporan media tentang pergolakan di negara-negara umat Islam seperti
Pakistan, Bangladesh, Somalia dan beberapa negara yang lain mematah semangat
sesiapa yang ingin mendampingi agama ini. Melihat kemiskinan di dunia Islam
menjauhkan manusia daripada Islam. Di manakah hendak diceritakan keindahan Islam
dan kerahmatannya, jika dibanding kemiskinan, kekotoran, sampah sarap,
kelam-kabut pengurusan dan segala unsur negatif yang terserlah di bandar-bandar
Kaherah, Karachi, Islamabad, Jakarta dan selainnya dibandingkan bandar-bandar
utama di Barat? Di manakah hendak diceritakan kemurnian akhlak Islam
dibandingkan rasuah yang bermaharajalela, penyalahgunaan kuasa, kuku besi, tidak
bertanggungjawab terhadap rakyat yang berlaku dalam politik dunia Islam,
dibandingkan dengan ahli-ahli politik Barat yang lebih mampu mempamerkan
identiti yang lebih baik untuk rakyat mereka? Di mana hendak diceritakan
kehebatan sistem ekonomi Islam jika dunia Islam seperti Mesir yang mempunyai
al-Azhar pun meminta belas ihsan bantuan kewangan dari Barat dan rakyatnya ramai
merempat dan melarat? Sementara kebanyakan negara umat Islam kelam-kabut
pengurusan ekonomi mereka. Bahkan menagih nasihat Barat dalam memulihkan
kekuatan ekonomi sendiri. Di manakah hendak diceritakan persaudaraan Islam, jika
setiap kali bencana seperti tsunami yang menimpa dunia Islam, bantuan Barat
terlebih dahulu sampai sebelum bantuan negara-negara umat Islam? Banyak dan
banyak jika hendak diungkit. Maka jangan hairan, jika manusia keliru dan
mentohmah Islam. Islam yang indah dicemarkan oleh penganutnya sendiri. Seperti
seorang ayah yang teramat mulia dan baik, tetapi mempunyai anak-anak yang buruk
kelakuannya, lalu ayahnya ditohmah. Di manakah kita dari firman Allah yang
menyebut: (maksudnya): Dan demikianlah (seperti mana Kami telah memimpin kamu ke
jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat wasata
(pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi saksi kepada umat manusia
(tentang benar dan salah) dan Rasul itu (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke
atas kamu. (Surah al-Baqarah: 143).
Cahaya Islam
Dalam negara kita sendiri, lihatlah umat Islam dari sudut politik,
pendidikan, ekonomi, sosial dan pelbagai lagi. Kes-kes penyalahgunaan kuasa
politik dan rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin yang beragama Islam lebih
banyak dari yang beragama lain. Politik Melayu Muslim lebih banyak memikirkan
kepentingan diri, sedang ‘orang lain’ mencongaknya untuk kepentingan kaumnya.
Kemajuan pendidikan anak-anak bukan muslim lebih diberi perhatian oleh ibu bapa
dibandingkan anak ‘orang kita’. Dari sudut ekonomi, kita jauh ketinggalan
dibandingkan ‘orang lain’. Kes-kes jenayah, dadah dan keruntuhan moral yang
membabitkan mereka yang mengakui muslim, jauh ‘memenangi persaingan’
dibandingkan bangsa lain yang tidak menganut Islam. Ternyata, kita benar-benar
menghalang cahaya Islam ini dari sampai ke penglihatan ‘orang lain’. Sampah
sarap dan bau busuk yang kita longgok di hadapan manusia, telah benar-benar
menghalang cahaya Islam yang kudus untuk sampai kepada mereka.
Saya teringat tulisan Muhammad al-Ghazali, seorang tokoh pemikir Mesir yang
menyebut: “Aku seakan terbayang bagaimana orang Australia dan Amerika apabila
berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat, lalu Allah bertanya mereka:
“Mengapakah kamu tidak mengenali-Ku dengan cara yang betul dan beramal dengan
amalan yang soleh dan bersiap menghadapi hari pertemuan ini?" Mereka akan
menjawab: “Sesungguhnya Arab yang mewarisi agama-Mu telah menghalang cahaya
agamanya, atau memadamkan lampu-lampunya, mereka biarkan kami dan diri mereka
dalam kegelapan.” ( Muhammad al-Ghazali, Turathuna al-Fikri, m.s 32, Amerika:
Al-Ma‘had al-‘Alami li al-Fikri al-Islami).
Dalam keadaan yang seperti ini, maka janganlah hairan jika kita sering
dituduh. Kita bukan sahaja telah meninggalkan Islam yang diamanahkan kepada
kita, tetapi juga telah mencemarkannya, maka orang lain pun tidak hairan lagi
untuk menghinanya. Selagi kita tidak membetulkan keadaan umat terlebih dahulu,
selagi itulah penghinaan seperti ini berterusan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Akan
tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu
(umat islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan
yang besar (menjamah hidangan makanan). Seorang sahabat bertanya, “apakah
disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab,
bahkan bilangan kamu di waktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha‘
(sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan
dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.
Seorang sahabat bertanya “Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?” Jawab
Rasulullah, cinta dunia dan takut mati (riwayat Abu Daud. Al-Albani menilainya
sebagai sahih).
Saya menyokong usaha memboikot barangan Belanda sebagai mesej kepada
masyarakat dunia bahawa umat ini membantah untuk dikaitkan al-Quran dengan
keganasan. Namun kita semua mempunyai tugas yang jauh lebih berat iaitu
memulihkan semula maruah dan harga diri umat ini. Seperti kata-kata al-Nadwi
yang pernah saya petik: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak
memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah
Islamiah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam
jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal
dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya
perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya
lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan
syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal
dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu
yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s
26, Lacknow: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi).
Kembalilah membina maruah dan identiti Islam seperti yang diajar dalam
al-Quran dan al-Sunah. Kita sepatutnya menjadi contoh mulia untuk semua umat di
dunia, bukan ditindas dan dipandang rendah. Justeru, jika tidak mahu dihina
orang lain, kita jangan menghina diri sendiri.
Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
MLT_hidayah
MLT_hidayah
KERABAT TEGAR SUPER SENIOR
KERABAT TEGAR SUPER SENIOR

Negeri : JIKA KITA TIDAK DIHINA ORANG, JANGAN MENGHINA DIRI SENDIRI Selang10
Jawatan : juruteknologi makmal perubatan
Gender : Female
Jumlah Post : 1508
Umur : 40
Tarikh Register : 26/02/2008
Reputation : 3
Points : 6029

Character sheet
Mutiara Kata saya: "WaLaUaPaPUN Yg BeRLaKU..HidUP InI MesTi diTeRusKaN...i dOnT FoRGiVe PeOpLe BecOz I'm WeaK . i FoRGiVe ThEM BecOz I'm StRoNG EnoUGH tO UndERsTaND ThaT eVeRYoNE MaKEs MiSTaKE.."

Back to top Go down

JIKA KITA TIDAK DIHINA ORANG, JANGAN MENGHINA DIRI SENDIRI Empty Re: JIKA KITA TIDAK DIHINA ORANG, JANGAN MENGHINA DIRI SENDIRI

Post by fadel Sat 26 Apr 2008, 10:00 pm

.
fakta2 penting.


......jika tidak mahu dihina
orang lain, kita jangan menghina diri sendiri. .....

.......Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?” Jawab
Rasulullah, cinta dunia dan takut mati ......
avatar
fadel
KERABAT SUPER SENIOR
KERABAT SUPER SENIOR

Jawatan : *.*
Gender : Male
Jumlah Post : 603
Umur : 46
Tarikh Register : 04/03/2008
Reputation : 0
Points : 6103

Character sheet
Mutiara Kata saya:

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum