FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.

Join the forum, it's quick and easy

FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.
FORUM PARAMEDIK
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim

Go down

Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim Empty Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim

Post by MaStErMiNd Sun 07 Oct 2012, 9:51 am

Kanser Serviks: Faridah Wanita Setengah Juta

Oleh Melati Mohd Ariff



Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim Rahim_agzi_kanseri_jinekolog
Kanser serviks adalah kanser ketiga paling kerap menimpa wanita di Malaysia. Faridah Muhammad, 48, yang menderita penyakit ini pada 2004, berkongsi pengalaman serta rawatan yang terpaksa dilaluinya.

Ini adalah bahagian pertama rencana daripada tiga siri.

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- "Sesekali suami saya akan mengusik saya, wanita setengah juta," Faridah Muhamad yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan memberitahu Bernama.

Setengah juta atau RM500,000 sudah semestinya satu jumlah yang besar.

Itulah anggaran kos rawatan untuk penyakit kanser serviks yang dihidapi Faridah untuk tempoh 2004 hingga akhir 2008.

Ibu kepada dua orang anak, Siti Nadiah, 24, dan Muhammad Naim, 21, ini memberitahu bahawa doktor mengesahkan dia menghidap kanser serviks yang dipanggil "adenocarcinoma of cervix" peringkat 2B pada 2004.

"Apabila doktor memanggil saya ke hospital untuk memberitahu akan hasil ujian biopsi, saya sudah merasakan ada yang tak kena dengan diri saya. Cuma masa itu saya menjangkakan kanser ovari.

"Bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana suami dan anak memberi sokongan yang kuat ketika saya menjalani rawatan. Saya mungkin tidak dapat melalui semuanya tanpa mereka.

"Saya juga berterima kasih kepada majikan suami saya kerana menanggung kos rawatan dari awal hingga akhir. Kalau pembiayaan sendiri, sudah tentunya kami tidak mampu," kata Faridah dalam wawancara dengan Bernama di pejabat Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Kampung Baru di sini di mana dia menjadi sukarelawan.

SAKIT SENGGUGUT

Bagi Faridah, segala-galanya bermula selepas melahirkan anak kedua pada November 1991 apabila dia mengalami kesakitan semasa datang haid.

Dia yang juga cuba mengandung semula tetapi mengalami keguguran sebanyak dua kali.

"Sejak itu saya melakukan ujian Pap Smear setiap tahun. Bermula awal 2002, saya selalu merasa lemah ketika datang haid.

"Pada September 2002, saya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana pendarahan haid yang banyak yang berlarutan lebih 10 hari," kata Faridah.

Menurut beliau, pada masa itu tidak ada ujian pengesan kanser dilakukan tetapi dia menjalani pembedahan kerana appendiks yang hampir pecah dan menyebabkan jangkitan pada ovari kanannya.

Selepas menjalani pembedahan (tubo-ovarian abscess) di mana doktor membuang ovari kanan, dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan sehinggalah pada pertengahan 2004.

"Ketika itu umur saya 40 tahun. Berlaku pendarahan dan saya mengalami susah buang air besar.

"Saya dan suami saya tidak berpuas hati apabila doktor yang merawat saya sebelum ini memberitahu saya perlu dibedah kali kedua. Kami buat keputusan berjumpa dengan pakar sakit puan yang lain," kata Faridah.


Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim Images-11
HIDUP KUCAR-KACIR

Setelah berjumpa dengan seorang lagi pakar sakit puan, Faridah diberitahu yang dia perlu menjalani beberapa ujian iaitu pap smear, ultra sound dan biopsi (untuk ujian kanser).

Perasaannya bagaimanapun menjadi tidak tentu arah apabila diberitahu mengenai keperluan biopsi.

"Kita manusia biasa. Saya memang rasa terkejut bila doktor kata saya positif kanser sebab saya masih mengharap hasil ujian biopsi negatif.

"Dalam hati saya hanya menyebut nama Allah berkali-kali, air mata saya mengalir.

"Ketika itu suami saya ada bersama dan dia cuba memujuk saya. Dia kata tak apa, abang ada di sini. Saya tabahkan hati sebab masih ada suami bersama saya dan dua orang anak," cerita Faridah.

Namun, secara jujur wanita yang berpendidikan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan ini memberitahu penulis kewujudan kanser sememangnya mengucar-kacirkan kehidupannya.

Ketika Faridah didiagos kanser serviks, anak sulungnya akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan anak kedua hanya berusia 13 tahun.

"Ada masanya suara hati mempertikaikan mengapa saya menghidap penyakit ini.

Emosi saya memang di tahap paling bawah sebab tekanan perasaan dan rasa kecewa.

"Suara hati menyoal sama ada suami saya masih boleh menerima saya. Apakah dia akan mencari orang lain? Tetapi itu cuma mainan perasaan.

"Saya bersyukur kepada Allah yang maha mengetahui kerana saya sebenarnya dikelilingi orang yang berfikiran positif termasuk doktor yang merawat.

"Keluarga saya juga amat membantu terutama suami saya, Mohd Rous Mohd Din. Anak pula belajar berdikari," kata Faridah.

KUATKAN TEKAD

Pada hari yang sama dia dimaklumkan positif kanser serviks, doktor memberitahunya bentuk rawatan yang perlu dilalui, peringkat demi peringkat.

Berpegang kepada prinsip "setiap penyakit ada ubatnya", Faridah menguatkan tekad untuk sentiasa tabah menjalani setiap rawatan yang telah diatur oleh doktor.

Doktor memberitahu yang beliau perlu menjalani kemoterapi untuk mengecutkan tumor sebelum tumor itu boleh dibedah dan dibuang.

Faridah menjalani kemoterapi, sebanyak lapan kitaran, bermula Oktober 2004. Pada Mac 2005, dia menjalani pembedahan untuk membuang tumor.

Berkongsi pengalamannya menjalani kemoterapi, Faridah memberitahu bahawa dia merasa mual yang teramat sangat di samping pening dan mahu muntah. Rambutnya mula gugur selepas menjalani kemoterapi yang ketiga.

"Masa itu memang kena reda sahaja. Makan juga tak rasa apa-apa tapi alhamdulillah, suami saya memang prihatin. Dia bagi saya makan roti dengan sup, ada kalanya saya makan sup sahaja supaya ada sedikit tenaga.

"Doktor juga menasihatkan saya supaya makan walaupun saya tidak dapat merasa apa-apa. Dia juga menyuruh saya makan banyak buah-buahan serta sayur-sayuran dan minum susu untuk tenaga.

"Alhamdulillah saya boleh buat semua rawatan kemoterapi mengikut jadual cuma saya kehilangan pekerjaan," kata Faridah.

Di samping kemoterapi, dia juga perlu menjalani rawatan radioterapi sebanyak 25 kali dan disusuli dengan 'brachytherapy' (antibodi dimasukkan melalui saluran vagina).

Pada Februari 2006, sewaktu pemeriksaan susulan, Faridah diberitahu terdapat ketumbuhan di hatinya dan dia perlu menjalani rawatan 'Radio Frequency Abilation' (RFA).

"Ini ada kena mengena dengan pengambilan hormon selepas rawatan. Rawatan yang saya perlu buat cuma sehari," tambahnya.

KEMBALI LEGA

Menurut Faridah, selepas menjalani rawatan RFA, dia masih perlu menjalani pemeriksaan susulan setiap enam bulan sekali.

Pada akhir 2008, doktor memaklumkan terpulang sama ada beliau mahu meneruskan pemeriksaan susulan.

"Doktor kata keadaan saya sudah stabil, lalu saya buat keputusan tak mahu pergi lagi. Saya juga berdoa saya tidak perlu lagi jumpa doktor.

"Memang perasaan saya amat lega ketika itu walaupun doktor telah membuang semua rahim saya.

"Suami saya banyak memberi kekuatan dan keyakinan diri. Pernah dia memberitahu ketika saya dalam menghadapi saat-saat genting melawan penyakit, takkanlah dia pula hendak mencari wanita lain.

"Suami saya kata bukan kehendak saya yang nak sakit. Itu adalah ujian Allah dan dirinya juga berdepan dengan ujian Allah," kata Faridah.

Setelah melalui pelbagai proses rawatan untuk kanser serviks, Faridah berharap kaum sejenisnya mengambil langkah pencegahan daripada peringkat awal.

"Saya dulu pun memang tak pernah terfikir akan menghidap penyakit ini. Senggugut, sakit belakang dan pendarahan jadi perkara biasa, justeru kita ambil mudah.

"Tapi sebenarnya tiap-tiap tahun kita kena buat pap smear. Kalau kata mahal kos, fikirkan kos rawatan kemudian yang berlipat-lipat kali ganda," kata Faridah sambil menambah kaum wanita perlu peka dengan perkara tersebut.

KERJA KEBAJIKAN

Membabitkan diri dengan kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) bukan perkara baru bagi Faridah.

Dia pernah bekerja dengan Kiwanis, NGO yang mengendalikan kanak-kanak sindrom down.

Selepas pulih daripada penyakit kanser serviks, Faridah mencari-cari NGO yang boleh disertainya.

"Sejak doktor mengesahkan saya sudah sihat, saya mencari NGO yang hampir dengan rumah saya.

"Dari Chow Kit saya berjalan dan setiba di Kampung Baru, saya terpandang pejabat NCSM ini.

"Bagi saya, ini masanya untuk membayar balik kepada masyarakat, bukan glamor yang dicari sekadar berkongsi pengalaman dan ingat mengingatkan sesama insan" kata wanita gigih ini.

Pada kebanyakan masa membabitkan diri dengan kegiatan NCSM, Faridah berkongsi pengalamannya berdepan dengan penyakit kanser serviks.

Selain itu, Faridah yang kini hanya bertugas sekali sebulan di pejabat NCSM Kampung Baru memberitahu bahawa dia juga secara bergilir mengendalikan Meja Bantuan (Help Desk) yang diwujudkan pada 2011.

"Kami hanya berkongsi maklumat dengan mereka yang datang ke pejabat ini. Ada kalanya kami mendengar luahan rasa mereka yang mahukan seseorang mendengar masalah yang mereka hadapi.

"Saya nasihatkan mereka ini bahawa di luar sana ada orang yang lebih teruk daripada apa yang kita alami," tambahnya.

-- BERNAMA


Last edited by MaStErMiNd on Sun 07 Oct 2012, 9:59 am; edited 2 times in total
MaStErMiNd
MaStErMiNd
WEBMASTER
WEBMASTER

Jawatan : Paramedic
Gender : Male
Jumlah Post : 353
Umur : 49
Tarikh Register : 19/09/2006
Reputation : 47
Points : 14158

Character sheet
Mutiara Kata saya: Saya Datang, Saya Lihat, Saya Takluk...

https://www.facebook.com/moblagata https://paramedik.catsboard.com

Back to top Go down

Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim Empty Re: Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim

Post by MaStErMiNd Sun 07 Oct 2012, 9:53 am

Sesiapa Wanita Pun Boleh Mendapat Kanser Serviks

Oleh Melati Mohd Ariff

Ini bahagian kedua daripada tiga siri rencana mengenai kanser serviks, kanser ketiga yang kerap menimpa wanita di Malaysia selepas kanser payu dara dan kanser kolon.

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Genevieve Sambhi, ibu kepada dua orang anak, begitu teliti mengawal pemakanannya. Dia juga kerap bersenam untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Patuh kepada nasihat ayahnya, yang juga pakar sakit puan, Genevieve menjalani ujian pap smear (ujian saringan untuk kanser serviks dan perubahan pra-kanser serviks) setiap tahun.

Bagaimanapun, tiga tahun lepas, Genevieve yang berusia 38 tahun merasa dirinya bagaikan diledak bom apabila didiagnos menghidap kanser serviks.

Dia menangis semahu hatinya. Fikirannya ketika itu hanyalah untuk dua orang anaknya yang masih kecil, Alex yang baru berusia setahun dan Isabella, 4.

KEGANJILAN

Ingatan Genevieve singgah kepada hari di mana beliau menerima panggilan telefon daripada ayah mengenai ujian pap smearnya.

"Waktu itu saya ada di rumah sedang memberi anak saya makan dan ayah menelefon untuk memberitahu bahawa hasil ujian pap smear saya tidak normal. Saya tidak tahu apa-apa tentang kanser dan langsung bertanya kepada ayah, saya ada kanser ke?."

"Ayah kata tidak, namun akan membawa saya berjumpa pakar onkologi," kata Genevieve dan menambah kata bahawa onkologis berkenaan menyakinkan beliau agar menjalani satu lagi ujian pap smear.

Tiga hari selepas ujian dijalankan beliau dimaklumkan hasilnya. Sangkaan Genevieve yang semuanya akan menjadi baik ternyata meleset.

Dia perlu menjalani ujian berikutnya, prosedur 'cone-biopsy' di mana sepotong tisu akan diambil daripada serviksnya.

Sepuluh hari selepas biopsi dijalankan, Genevieve sekali lagi dilanda kesedihan. Hasil ujian biopsinya tidak begitu baik.

Diagnosis yang menyatakan Genevieve menghidap kanser serviks menjadikan ibu muda ini merasa begitu tidak berdaya dan berputus asa.

"Kanser bagi saya bermakna kematian dan saya masih terlalu muda untuk menghidap kanser. Pada saya kanser hanya untuk orang tua," kata Genevieve dan menambah kata, tidak ada sesiapa pun dalam keluarganya sebelum itu menghidap kanser.

Genevieve menjadi lebih terperanjat apabila doktor memberitahu bahawa dia perlu menjalani histerektomi di mana rahim wanita dibuang melalui pembedahan.

"Saya mahu memilikki seorang lagi anak dan bagi saya apa yang saya lalui ini amat tidak adil. Saya minta doktor menangguhkan pembedahan agar saya dapat memperoleh seorang lagi anak."

"Doktor dengan tegas memberitahu bahawa saya boleh mati jika mengandung kerana penghamilan akan mempercepatkan virus yang menyebabkan kanser merebak," katanya.

LAGI BERITA BURUK

Apabila Genevieve membuat keputusan untuk menuruti kehendak doktor, ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Dia mengambil masa yang agak lama untuk berbuat demikian.

Jauh di lubuk hati, Genevieve tahu beliau tidak mempunyai pilihan dan perlu menjalani histerektomi. Tarikh ditetapkan untuk pembedahan iaitu 26 Jun, bertepatan dengan hari ulang tahun kelahiran ibunya.

Seminggu sebelum pembedahan, Genevieve dimaklumkan perlu menjalani ultrasound untuk memastikan buah pinggangnya berada dalam keadaan baik.

"Saya ada masalah buah pinggang semasa kecil. Ketika doktor melakukan ultrasound, saya nampak wajahnya berubah, begitu juga dengan ayah.

"Saya tanya apa yang tak kena dan minta agar mereka tidak berselindung apa-apa daripada saya. Saya mahu mereka berterus-terang memandangkan saya sudah melalui pelbagai kesulitan."

"Doktor memberitahu yang saya ada jisim (mass) di serviks dan perlu menjalani MRI (Pengimejan Resonans Magnetik). Memang jisim berkenaan berkanser dan saya perlu menjalani histerektomi sepenuhnya," kata Genevieve.

Doktor juga memberitahu bahawa beliau boleh menjalani histerektomi dan kemudian membuang jisim berkenaan untuk dianalisis.

Bagaimanapun, ini melibatkan satu lagi pembedahan sekiranya hasil analisis itu positif. Pembedahan tersebut melibatkan pembuangan semua yang ada dalam rahim termasuk tiub Falopio dan nodus limfatik (lymph nodes).

Genevieve membuat keputusan untuk menjalani pembedahan histerektomi sepenuhnya dan kesakitan yang terpaksa ditanggung adalah yang paling teruk pernah dirasainya.

"Saya telah menjalani dua pembedahan caesarian dan jika dibandingkan dengan histerektomi, ia tak lebih seperti luka di lutut," jelasnya.

LEBIH BANYAK RAWATAN

Pembedahan histerektomi itu bukanlah penutup kepada penderitaan yang dilaluinya. Sepuluh hari selepas pembedahan tersebut, Genevieve berjumpa semula doktor dan diberitahu kansernya sudah merebak dan perlu menjalani radioterapi dan kemoterapi.

"Radioterapi macam kita mengambil x-ray setiap hari. Setiap sesi mengambil masa 10 minit dan ini berterusan selama 40 hari."

"Kesan sampingannya adalah lebih teruk daripada radiasi itu sendiri."

"Kesan kemoterapi lagi dahsyat seperti yang anda boleh jangkakan. Satu hari saya akan muntah, dan keesokan hari badan saya penuh dengan ruam. Minggu ketiga saya mengalami kekejangan dan kesakitannya amat teruk sekali," kata Genevieve berkongsi pengalaman dengan penulis.

Selepas pusingan kemoterapinya selesai, Genevieve diberitahu yang dia perlu menjalani radioterapi dalaman.

Genevieve menggambarkan prosedur tersebut sebagai "mungkin yang paling dahsyat" yang terpaksa ditempuhinya untuk rawatan kanser serviksnya.

"Saya perlu berbaring selama 40 jam. Saya tidak boleh bergerak. Ada elemen radioaktif dimasukkan ke dalam tubuh saya dan saya perlu berbaring, tidak ada makanan, minuman dan tidak ada sesiapa dibenar berjumpa dengan saya."

"Saya masih ingat menelefon suami, menangis dan minta beliau datang dan bawa saya pulang. Saya juga menelefon ayah mengadu kesakitan dan beliau terus menelefon doktor sebelum saya diberi panadol.

"Ketika itu juga saya memusingkan kepala ke arah doktor dan memberitahu yang saya memerlukan lebih daripada panadol. Jadi mereka bagi saya tidur selama 40 jam. Saya rasa lega dan akhirnya semua selesai," kata Genevieve.

MASA UNTUK SEMBUH

Berbanding dengan kehidupan Genevieve semasa rawatan untuk kanser serviksnya, kehidupannya untuk tempoh enam bulan selepas selesai rawatan begitu menyeronokkan.

Di sebalik nasihat ibu bapanya supaya dia tinggal di rumah dan berehat, dia menyibukkan diri dengan menghantar anak ke sekolah, masak untuk mereka dan melakukan pelbagai kerja rumah yang lain.

Apabila merasa sakit, anak perempuannya, Isabella, yang ketika itu berusia empat tahun, akan memujuk Genevieve.

"Isabella akan berbaring di sebelah saya dan menyuruh saya tidur sambil berkata dia akan menemani saya," katanya dan menambah bahawa suami dan kedua-dua anak adalah tunggak kekuatannya dalam menanggung kesakitan kanser serviks.

Menurut Genevieve, bagi menguatkan semangat, beliau meneruskan kehidupan senormal mungkin selepas menjalani rawatan yang panjang dan menyakitkan.

"Suami dan anak memberi kekuatan dan memastikan saya sentiasa ceria. Ibu dan bapa juga menjaga saya dan memastikan makanan yang disediakan segar dan adalah masakan istimewa untuk saya."

"Malah dua orang adik saya kembali dari United Kingdom untuk menemani saya ketika sesi radiasi setiap hari."

"Sokongan yang saya terima daripada keluarga dan sahabat handai begitu menakjubkan dan saya masih merasa kagum sehingga ke hari ini setiap kali mengenangkan mereka yang banyak membantu saya," kata Genevieve.

Genevieve kehilangan banyak berat badan akibat pembedahan dan terpaksa menjaga kulitnya yang menjadi begitu kering akibat pelbagai rawatan kanser serviks.

"Sesetengah orang tidak sedar yang saya sedang menjalani radiasi dan membuat komen kulit saya cerah bersinar. Saya pernah ketawa dan berkata ia akibat radiasi yang terpancar daripada tubuh saya."

"Saya tidak dapat ke gim atau berenang kerana tidak mempunyai tenaga. Saya menjadi kurus tetapi kesihatan saya pulih dalam tempoh enam bulan," kata Genevieve.

UJIAN PAP SMEAR

Selepas apa yang dilaluinya, seseorang itu boleh faham mengapa Genevieve menjadi risau apabila ada wanita yang memandang remeh terhadap ujian pap smear.

"Kanser serviks boleh dielak dan dirawat. Setelah mendapat suntikan, buat juga pemeriksaan pap smear. Saya tahu ada wanita hinggakan 11 tahun tidak menjalani ujian pap smear."

"Saya tahu ujian ini agak memalukan tetapi apalah ada pada tempoh dua minit untuk merasa malu berbanding akibat yang lebih teruk?"

"Percayalah, saya rela menjalani ujian pap smear setiap hari daripada melalui semua itu. Malah merasakan sudah tidak ada apa lagi yang perlu dimalukan.

"Pap smear tidak menyakitkan, hanya sedikit rasa tidak selesa tetapi ini bukanlah isu besar," kata Genevieve dan menambah kata beliau diisytihar bebas kanser selepas enam bulan selesai rawatan iaitu sekitar 2010.

-- BERNAMA
MaStErMiNd
MaStErMiNd
WEBMASTER
WEBMASTER

Jawatan : Paramedic
Gender : Male
Jumlah Post : 353
Umur : 49
Tarikh Register : 19/09/2006
Reputation : 47
Points : 14158

Character sheet
Mutiara Kata saya: Saya Datang, Saya Lihat, Saya Takluk...

https://www.facebook.com/moblagata https://paramedik.catsboard.com

Back to top Go down

Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim Empty Re: Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim

Post by MaStErMiNd Sun 07 Oct 2012, 9:58 am

Kanser Serviks Boleh Dicegah Daripada Awal

Oleh Melati Mohd Ariff

Kanser serviks adalah kanser ketiga paling kerap menimpa wanita di Malaysia selepas kanser payu dara dan kanser kolon/usus besar.

Dr Dalilah Kamaruddin mengulas beberapa isu kanser serviks. Beliau adalah Kanser serviks adalah kanser ketiga paling kerap menimpa wanita di Malaysia selepas kanser payu dara dan kanser kolon/usus besar.

Dr Dalilah Kamaruddin mengulas beberapa isu kanser serviks. Beliau adalah Ketua/Pegawai Perubatan Pusat Pengesanan Kanser Wanita, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Ini adalah bahagian akhir daripada 3 siri rencana.

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- "Tahukah anda di seluruh dunia, setiap dua minit seorang wanita akan mati akibat kanser serviks.

"Di kawasan Asia-Pasifik, setiap empat minit seorang wanita akan mati akibat kanser serviks.

"Kalau ikutkan statistik negara kita, kanser serviks adalah kanser ketiga paling kerap menimpa wanita di Malaysia."

Menakutkan bukan? Statistik di atas adalah antara fakta yang sering diulang Dr Dalilah Kamaruddin, Ketua/Pegawai Perubatan Pusat Pengesanan Kanser Wanita, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dalam setiap ceramahnya mengenai kanser serviks.

Beliau pernah berkhidmat di hospital kerajaan sebelum membuat keputusan untuk mencurahkan khidmat bakti dengan badan kebajikan sejak tiga tahun lepas.

TAHAP KESEDARAN

Kepekaan orang ramai khususnya golongan wanita mengenai kanser serviks masih kurang. Daripada skala 10, tahap kesedaran itu berada pada angka lima, demikian menurut Dr Dalilah.

Tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu adalah rendah berbanding kaum lain.

"Pada satu program yang pernah saya kendalikan, generasi muda Cina paling ramai yang memberi sokongan. Mudah mendapatkan 50 orang untuk mengambil suntikan pencegahan kanser serviks," katanya.

Dr Dalilah turut berkongsi pengalaman memberi ceramah mengenai kanser serviks di sekolah menengah yang membabitkan pelajar tingkatan empat dan lima.

Yang rajin bertanya semasa ceramah ialah pelajar lelaki sementara pelajar perempuan akan mengemukakan soalan selepas ceramah.

Di kolej pun sama, yang lelaki akan angkat tangan bertanya.

SECARA SUKARELA

Beliau turut memberi contoh seorang wanita Cina dari Kelantan yang datang ke tempat beliau dan membawa bersama anak-anak perempuannya.

"Tiga kali mereka datang ke KL untuk mengambil suntikan HPV. Mereka juga menjalani mamogram iaitu ujian untuk mengesan kanser payu dara.

"Saya juga ada pesakit Cina berusia 25 tahun, yang belum berkahwin tetapi mahu menjalani pap smear sebab ada teman lelaki. Mereka aktif secara seksual dan dia mahu melindungi dirinya," tambahnya.

Dr Dalilah juga mempunyai pesakit Melayu berusia 27 tahun, belum berkahwin tetapi bersetuju menjalani pap smear kerana pernah melakukan hubungan seksual.

Secara keseluruhannya, golongan muda (20an dan 30an) paling mudah menerima nasihat berbanding yang berumur 40an.

"Yang sudah berusia pula menyatakan mereka tidak lagi aktif dari segi seksual tetapi sebenarnya mereka lupa bahawa jangkitan itu mungkin sudah berlaku 10 tahun sebelumnya," katanya.

APA DIA KANSER SERVIKS?

Kanser serviks boleh menyerang wanita tanpa mengenal usia, latar belakang atau di mana juga mereka berada.

Menurut Dr Dalilah, kanser ini bermula di bahagian serviks iaitu bahagian uterus atau rahim yang membuka ke vagina.

Serangan ke bahagian serviks ini jika tidak dirawat lebih awal akan menjadi lebih teruk.

Apakah punca kanser serviks? Jawapan kepada soalan ini ialah virus yang boleh berjangkit iaitu Human Papillomavirus atau ringkasnya disebut HPV yang memang banyak terdapat di udara.

Terdapat 100 jenis HPV, yang kebanyakannya tidak merbahaya.

Daripada jumlah 100 itu, ada 15 jenis boleh menyebabkan kanser serviks. Virus yang paling lazim dikaitkan dengan kanser serviks termasuk HPV 16, 18, 45 dan 31.

Daripada 15 jenis HPV itu juga, ada yang boleh menyebabkan ketuat kelamin.

Menurut Dr Dalilah, wanita muda atau tua semuanya menanggung risiko kanser serviks akibat jangkitan baru atau jangkitan semula HPV yang menyebabkan kanser.

"HPV jenis 16 dan 18 yang menyebabkan kanser menjadi punca 70 peratus keseluruhan kes kanser serviks," tambah beliau.

KAJIAN KES

Dr Dalilah menyebut bahawa berdasarkan kes-kes kanser yang berlaku di Malaysia, usia untuk wanita mendapat kanser serviks ialah 30an manakala purata umur seseorang mengadakan hubungan kelamin antara 15 hingga 20 tahun.

"Remaja di Malaysia, kebanyakannya mula mengadakan hubungan seksual pada umur kira-kira 15 tahun.

"Virus kanser serviks ini akan tinggal dalam badan kita selama kira-kira 10 tahun sebelum ia membiak.

"Oleh itu kita akan melihat kes-kes kanser serviks ini berlaku pada umur 30an," kata Dr Dalilah sambil menambah ada juga wanita yang mendapatnya ketika sudah berusia iaitu 65 tahun.

CARA MEREBAK

Menurut Dr Dalilah, kebanyakan wanita yang ditanya mengenai kanser serviks hanya tahu satu punca jangkitan iaitu melalui hubungan seksual.

Jelasnya, virus kanser serviks boleh juga disebarkan antaranya melalui sentuhan kulit, seluar dalam yang tidak bersih, sarung tangan surgikal atau alat forcep.

Malah seorang ibu juga boleh memindahkan virus ini kepada bayi ketika melahirkannya secara normal.

Virus tersebut juga boleh dipindahkan dari satu genital kepada satu genital yang lain.

Dr Dalilah kemudian menyentuh perlakuan seks golongan remaja yang dikatakannya, turut menyumbang kepada jangkitan kanser serviks.

"Budak-budak sekarang melakukan seks secara kreatif termasuk seks oral.

"Saya ada seorang pesakit wanita yang selalu ada ulser mulut. Pelbagai jenis ubat dan vitamin diberikan. Akhirnya saya terpaksa tanya dan dia mengaku suka buat seks oral," katanya sambil menambah bahawa penggunaan kondom hanya boleh mengurangkan jangkitan virus berkenaan tetapi tidak boleh menghalang kepada jangkitan virus tersebut.

HPV boleh juga merebak jika seseorang wanita itu mempunyai ramai pasangan.

Mereka yang mempunyai sistem imun yang rendah seperti penghidap penyakit HIV turut menanggung risiko tinggi untuk dijangkiti virus kanser serviks.

"Jika seseorang itu terdedah kepada HPV, kebiasaannya badan mempunyai sistem imun untuk menghilangkan virus tersebut.

"Bagaimanapun, jangkitan yang berterusan akan menyebabkan serviks terus dijangkiti dan mendapat kanser serviks," jelas Dr Dalilah.

TANDA-TANDA

Kesakitan dan pendarahan. Menurut Dr Dalilah, dua perkara ini adalah tanda kanser serviks.

Menjelas lebih lanjut, beliau berkata kesakitan berlaku, antaranya ketika mengadakan hubungan seksual atau terasa sakit bila membuang air kecil, kesakitan di bahagian bawah belakang badan, sakit di bahagian kaki atau di pelvik.

Tanda lain ialah apabila darah keluar dengan banyaknya dari vagina (bukan darah haid) dan pendarahan setelah melakukan hubungan seksual.

"Wanita yang sudah mengalami putus haid atau menopause, apabila mengalami pendarahan yang banyak dari vagina juga berkemungkinan menghidap kanser serviks," katanya.

CARA PENCEGAHAN

Kita biasa dengar kata-kata ini, "mencegah lebih baik daripada merawat" dan inilah juga yang sering ditekankan Dr Dalilah setiap kali beliau memberi ceramah mengenai kanser serviks.

Pencegahan melalui pengambilan vaksin dan melakukan 'pap smear' adalah dua kaedah yang jika diambil bersama dapat mencegah jangkitan HPV.

Vaksin tersebut, katanya, adalah seperti yang diuar-uarkan menerusi kempen untuk budak sekolah berumur 13 tahun.

Vaksin itu juga boleh diambil oleh wanita walaupun sudah berusia 45 tahun.

Beliau sendiri pernah memberi vaksin tersebut untuk budak perempuan semuda sembilan tahun dan wanita yang berusia 57 tahun.

"Vaksin yang diberi kepada mereka yang masih muda akan memberi perlindungan 100 peratus kerana sistem imun mereka baik.

"Bagaimanapun, setakat ini pengambilan vaksin mencegah HPV ini tidak mendatangkan kesan sampingan.

"Walaupun sistem imun seseorang wanita itu rendah berbanding orang muda, badan kita mempunyai daya perlindungan dan boleh menangkap virus serta membina imunisasi baru," jelasnya.

Dr Dalilah berkata, pengambilan vaksin dibuat dalam tempoh enam bulan membabitkan tiga dos. Purata harga untuk satu dos antara RM200-RM280.

PAP SMEAR

Kaedah "pap smear" mungkin tidak berapa disenangi oleh sesetengah wanita kerana ia melibatkan pemeriksaan serviks menerusi vagina.

Ia mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1970an untuk mengesan sel abnormal di bahagian serviks.

"Masih ramai yang tidak tahu mengenai pap smear. Satu sebab, malu untuk bertanya kerana ia melibatkan bahagian kemaluan dan kedua, tidak ambil endah.

Faktor ketiga, anggapan kanser serviks tidak akan berlaku ke atas diri mereka.

Lagi pun tidak ada siapa yang akan atau mahu bercerita mengenai perkara ini, sama ada kawan atau keluarga," kata Dr Dalilah.

Menurut beliau, daripada 200 ujian pap smear yang dijalankan, mungkin hanya satu atau dua yang abnormal atau luar biasa.

Jelasnya, mereka yang datang ke klinik NCSM untuk membuat ujian tersebut datang secara sukarela dan mengambil berat tentang penjagaan diri mereka.

Ada juga yang datang untuk membuat mamogram dan kemudian diyakinkan untuk turut menjalani ujian pap smear.

Dari segi profil mereka yang datang ke NCSM, hampir 80 peratus berketurunan Cina dan sebahagian besar berumur lingkungan 30an.

PELBAGAI ALASAN

Antara alasan yang sering dilontar oleh mereka yang cuba diyakinkan supaya mengambil suntikan HPV ialah "mahal".

Secara umumnya, kos rawatan untuk penyakit kanser sememangnya amat tinggi dan boleh mencecah sehingga RM500,000.

"Hendak bayar RM550 untuk suntikan yang boleh mencegah penularan kanser serviks tak boleh. Beli telefon bimbit mahal boleh, beli tudung mahal boleh, beli emas boleh," keluh Dr Dalilah yang begitu kecewa dengan sikap sesetengah wanita terhadap ancaman kanser serviks.

"Kalau kata hendak berjimat duit, eloklah berjimat daripada sekarang," tegasnya.

Ada juga wanita yang bersikap "tak tahu lebih bagus. Kalau tahu kita akan jadi risau."

Beliau turut memberitahu ada ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka mengambil suntikan percuma HPV. Yang mengecewakan kes sedemikian banyak berlaku di kawasan bandar berbanding luar bandar.

Manakala ada juga banyak kes anak bawa balik borang tetapi tidak meminta tandatangan ibu bapa.

Apa pun Dr Dalilah menasihati kaum wanita tanpa mengira umur dan latar belakang agar mengambil suntikan dan ujian pap smear sebagai insurans untuk diri serta keluarga mereka.

-- BERNAMA
MaStErMiNd
MaStErMiNd
WEBMASTER
WEBMASTER

Jawatan : Paramedic
Gender : Male
Jumlah Post : 353
Umur : 49
Tarikh Register : 19/09/2006
Reputation : 47
Points : 14158

Character sheet
Mutiara Kata saya: Saya Datang, Saya Lihat, Saya Takluk...

https://www.facebook.com/moblagata https://paramedik.catsboard.com

Back to top Go down

Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim Empty Re: Kanser Serviks / Kanser Pangkal Rahim

Post by Sponsored content


Sponsored content


Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum